Sajak Hari Kemerdekaan Malaysia

Contoh sajak merdeka dan 12 koleksi sajak Hari Kemerdekaan. Sajak sempena Hari Kemerdekaan Malaysia tanggal 31 Ogos 1957. Alangkah bertuahnya kita, lahir-lahir sahaja kita dapat menikmati keamanan. Perdengarkan sajak aku anak merdeka luahan rasa kesyukuran lahir di bumi Malaysia yang telah merdeka ini.

Aura merdeka bakal merasuk anda!! Lihat:

Sesuai dijadikan rujukan buat anak tentang sajak hari kemerdekaan untuk kanak-kanak biar mereka mengetahui akan pengorbanan pahlawan negara suatu ketika dahulu. Juga menyemai semangat patriotik di kalangan murid-murid setiap kali terlibat dalam deklamasi sajak hari kemerdekaan sekolah rendah. Sajak sempena bulan kemerdekaan - nukilan puisi hari kemerdekaan dari mereka yang hebat sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia.

Tahun ni, Sehati Sejiwa telah dipilih sebagai tema Hari Kebangsaan 2016. Benar.. jika ingin bersatu, membina perancangan dan beroleh kejayaan, semua orang harus bersatu hati, sehati sejiwa. Barulah apa yang dirancangkan terlaksana dan mencapai matlamat. Marilah kita mengambil inisiatif menerusi puisi tentang hari kemerdekaan di bawah.

sajak hari kemerdekaan malaysia, sajak aku anak merdeka, sajak hari kemerdekaan sekolah rendah, sajak hari kemerdekaan untuk kanak-kanak, puisi hari kemerdekaan, puisi tentang hari kemerdekaan, sajak sempena bulan kemerdekaan
12 Koleksi Sajak Hari Kemerdekaan Malaysia
Artikel menarik:

Sajak: MERDEKA
Satu jeritan yang banyak berulang meresap
Meresap... Seperti senyum gadis di pertemuan
Menerawang... Serupa gema di tengah malam
Merempuh... Seperti kereta kebal di medan perjuangan.

Pekiklah!
Jeritlah!
Dan...
Maralah!

Tongkat Warrant
4 Julai 1954

Sajak Kemerdekaan: PAHLAWAN DAN TANAHAIR
Pahlawan sejati
Dalam hatinya bernyanyi.
Tanahair dan bangsa
Di mana terpaut cinta mulia.

Untukmu darah ini mengalir
Padanya jasad ini cair

Tongkat Warrant
1958

Sajak: PAHLAWAN KEMERDEKAAN
Pahlawan!
Jika hilangmu tanpa pusara
Jika pusaramu tanpa nama
Jika namamu tanpa bunga
Penjajah mengatakan kau derhaka
Maka kaulah pahlawan sebenarnya.

Gema seabad silam
Inggeris datang meredah Pahang
Bersama peluru bersama senapang
Membunuh menangkap setiap pejuang

Sungai Semnatan berubah merah
Bukan sarap hilir ke kuala
Bukan rakt mudik ke hulu
Arus merahnya menjulang mayat
Pahlawan bangsa pahlawan rakyat
Tujuh liang dadanya tersayat.

Pahlawan!
Untukmu derita untukmu penjara
Bukan bintang tersemat di dada
Semangatmu api negara berdaulat
Namamu terukir di jantung rakyat.

Tongkat Warrant

Sajak: DAMAI (TANAHAIRKU DAN DUNIA)
Sisa hidup ini hendak kita pelihara
Juga tanah, pohon dan buah-buah
Juga tulang, daging dan darah
Jangan suara jadi parau di musim kemarau.

Tapi tanah kami sudah kerecikan api
Lama bermula, tidak hilang sampai kini
Dan meski tawaran damai sudah diberi
Orang masih tidak peduli!

Pohon getah dan tanah mengandung bijih
Rebutan manusia daerah asing
Kita gali kubur dan masuk berdiam di dalamnya!

Damai - seruan dan tawaran
Damai - untuk tanahairku dan kemerdekaan
Damai - untuk dunia dan kesejahteraan!

Usman Awang
Mastika, Ogos 1955.

Sajak: ERTI KEMERDEKAAN
Kita mencari hanya yang tulen dan jati
Sekadar hidup mengerti dan berbudi
Dan bumi akan subur, makmur dan mewah
Jika kita bekerja dan berikrar hidup bersama

Tanah air memberi banyak
Mesra mendakap kita
Kemerdekaan mendorong kita berdiri dan berbakti
Dan dalam alaf baru
Semangat kita wajar padu berjalan kita
Atas nama tanah air dan bangsa
Bangga kerana merdeka
Megah kerana bahagia.

 A Samad Said

Sajak Kemerdekaan: DI PENTAS KEBEBASAN
Kamu membakar hutan bandar
Kedai dan kereta disambar api kemarahan
Semarak darah generasi abad dua puluh satu

Siapa yang ditentang juga jelas
Menegakkan keadilan dengan tangan kasar
Meja rundingan pun turut dibakar.

Seorang tua termanggu melihat kejadian
Peristiwa yang tidak terlintas di fikiran
Apakah yang dicari wahai anak muda?
Aku yang membina tiang kemerdekaan
Kau bersorak bangga mematahkan.

Aku yang mengecat tugu sejarah
Putih bersih sedap mata memandang
Kau conteng dengan niat hitam.

Jari terketar tak mampu menampar
Tangannya letih hendak menangani
Mereka yang bingung di pentas kebebasan
Tercari-cari nama negeri bumi yang dipijak

Sedangkan ladang sudah dibajak
Benih sudah dipilih untuk disemai.
Orang tua itu berbisik sedih
Aku membina kamu meruntuhkan.

Khadijah Hashim
Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur

Sajak Kemerdekaan: 31 OGOS TIBA LAGI
Setiap kali tibamu Ogos
Mengerling monumen yang lusuh dan tugu berdarah
Dalam matang akal fikir
Semangat dan kudrat masih berbaki
Merisik khabar pejuang yang jauh
Dalam lipatan darmawisata merdeka
Mahalnya nostalgia.

Manis dan comelmu ogos ini tiba jua
Menyentak lolong makrifat membiak musim
Ceriteranya berderai plotnya berkecai
Mengirai skrip duga yang tak sudah
Atas aspal fatamorgana bumi bertuah.

Ogos yang sujud di kaki merdeka
Tanggal tiga puluh satumu tidak pernah hilang
Tetap menyimpul senyum
Meskipun termateri kenangan pahit
Yang mahal dan cantik.

Hari ini mentari 31 Ogos memancar lagi
Bersama gemersik angin di bumi bertuah
Mendewasakan ukhuwah dan ummah
Siap siaga warga berdaulat memahat sejarah
Dalam tamadun bangsa yang gah.

Terima kasih pejuang tanah merdeka
Terima kasih aduhai tanah airku Malaysia!

Wan Zahari Wan Ali,
SMK Saujana, Setiu, Terengganu.

Sajak Kemerdekaan: KETAATAN DAN KEBERANIAN
Berjanjilah kami demi keberanian
Melalui suara-suara hijaz
Putaran kemerdekaan

Menyusur sungai-sungai mati
Kepada insan seikat masyarakat
Yang telah bebas.

Dalam sejarah kepahitanmu
Terselit larian aku anak kecil
Dibentuk dalam kelas-kelas rendah
Hingga ke kamar dewasa
Jiwa ini digantung loceng mongel
Lalu direntap-rentap
Terbawa-bawa.

Titisan darah ibuku
Pada papan cendana pejal
Masih melekat di situ
Di perigi yang telah terkambus
Hanyir masih terbau
Tembuni dalam diam berubah fosil
Atas tanah yang merdeka.
Seperti selalu

Berlarilah kami dengan sebuah bendera kecil
Menyamai pemberian hadiah bapamu
Kami menyebut MERDEKA!!!
MERDEKA!!! MERDEKA!!!!

Nafisa
Marang, Terengganu

Puisi Kemerdekaan: HUJAN MERDEKA
Di langit Ogos
Awan gembira mengkhabarkan
Hujan merdeka turun lagi
Untuk kesekian kalinya
Membasahi bumi keramat ini
Dinginnya merangkul perasaan nusa
Syahdunya menyelimuti hati pembela
Damainya bertakhta di tiap jiwa anak-anak bangsa.

Telah kutemui mutiara yang tersembunyi
Dalam denai-denai usia yang menjanjikan kebahagiaan
Kukecapi aroma pembangunan
Kukucupi wangian pembebasan
Dan telah kuwarnai kanvas jati diri
Mengikut lakaran budaya dan potret bangsaku.

Hujan merdeka turun lagi
Titisnya menjelajahi hati srikandi
Pertiwi tersenyum menerimamu
Memeluk janji yang termetarai
Harapan yang terkota
Teguh mengepung cinta.

Terima kasih, hujan merdeka
Walau langit Ogos berlalu
Titisnya membasahi sepanjang musim.

Zulkifli Mohd Top
Universiti Malaya

Sajak Kemerdekaan: MENYAMBUT MERDEKA
Sambutannya berulang lagi
Saban tahun ia kembali
Keranamu malaysia aku di sini
Menabur bakti ibu pertiwi.

Jalur gemilang berkibar megah
Sana sini mencipta indah
Namun segelintir tiada endah
Satukan hati bukannya mudah.

Hanya malaysia negara tercinta
Pejuang bersusah untuk merdeka
Jangan siakan apa yang ada
Sayangilah tumpah darah kita.

Zainal Abidin Ahmad
BTP

Sajak Aku Anak Merdeka: POKOK BANGSA ITU ADALAH KITA
Anak merdeka alaf baru!
Antara bunga mimpi dan tragedi
Dalam membina generasi globalisasi
Bukanlah semudah mencipta
Cerita kosong di kedai kopi
Atau membiarkan bangsa kita dijajah lagi.

Anak merdeka alaf baru!
Tanamlah, semailah, bajailah
Anak pribumi agar tumbuh menjulang tinggi
Demi generasi dan agama
Mentafsir wawasan membina jati diri
Meraih akar dalam tunjang diri
Menegak pepohon yang merendangkan
Dedaun semangat.

Anak merdeka alaf baru
Siramkanlah falsafah minda
Jangan biarkan kering dan mati
Kerana pokok bangsa itu adalah serumpun
Kerana pokok bangsa itu
Adalah kita yang merdeka.

Amylia Hussain
Jambatan Merdeka, Sg. Petani

Sajak Merdeka: MALAYA PASTI MERDEKA
Keseluruhan dari keadaan dan kenyataan
Keseluruhan dari kesanggupan dan kebenaran
Keseluruhan dari kemungkinan dan kepastian

Perpaduan, pendirian, pengorbanan dan perjuangan
Telah benar-benar membangunkan kepercayaan
Telah benar-benar menimbulkan harapan
"Bahawa kemerdekaan yang sekian lama kita perjuangkan
Telah dekat mendekati kita
Telah tegas dan nyata
Terbayang di hadapan mata
Malaya! Pasti merdeka".

Kita pasti merdeka!
Kita adalah manusia berbangsa dan bernegara!
Kita bukan boneka!

Kita pasti merdeka
Di atas "hak pertuanan" kita
Selaras dengan kemerdekaan di mana-mana
Sebagai manusia-manusia lain yang berbangsa dan punya negara
Malaya pasti merdeka
Di atas keseluruhan hak-hak kenegaraannya.

Affrini Adham
1955

Sekian, 12 koleksi sajak Hari Kemerdekaan. Melaungkan ungkapan merdeka bila tiba Hari Kebangsaan menambahkan lagi rasa cinta kita pada negara. Menghargai jasa pahlawan negara, mensyukuri erti kedamaian, hidup harmoni, bebas dari jajahan sesiapa. Kita kini di zaman merdeka, lakukanlah transformasi diri ke arah lebih baik. Moga perkongsian sajak merdeka ini membuatkan kita jadi lebih bersemangat kenegaraan dan bersifat patriotik. Selamat Hari Merdeka!!!

2 comments: