10 Perkara Penting Tentang Simpanan Shariah KWSP

Perlu tahu 10 perkara penting tentang Simpanan Shariah KWSP. Anda dah bertukar dari akaun KWSP simpanan konvensional ke simpanan shariah? Tahniah! Ketahui maklumat penting apa yang anda perlu tahu tentang akaun KWSP simpanan shariah.

1. Apa maksud Simpanan Shariah?
Simpanan Shariah merupakan satu inisiatif oleh KWSP bagi membolehkan ahli KWSP memilih untuk akaunnya diuruskan dan dilaburkan mengikut prinsip Syariah.

2. Bagaimanakah cara ahli memilih akaun KWSP Simpanan Shariah?
Ahli perlu menghadirkan diri ke kaunter KWSP untuk membuat permohonan serta menurunkan cap ibu jari bagi tujuan pengesahan identiti ahli. Pendaftaran akan bermula dari 8.8.16.

3. Apakah yang perlu dibawa untuk permohonan Simpanan Shariah KWSP?
1. MyKad / Passport (Bukan Warganegara Malaysia)
2. Menghadirkan diri ke kaunter KWSP untuk membuat permohonan serta menurunkan cap ibu jari bagi tujuan pengesahan identiti ahli
3. Ahli akan dimaklumkan melalui Notis dan Sistem Pesanan Ringkas (SMS) tidak kurang daripada tujuh (7) hari sebelum tarikh kuat kuasa pilihan.

10 perkara penting tentang simpanan shariah kwsp, apa yang anda perlu tahu tentang akaun kwsp simpanan shariah, apa maksud simpanan shariah, buat permohonan daftar simpanan shariah kwsp
Apa yang anda perlu tahu tentang Simpanan Shariah KWSP
4. Ciri-ciri utama Simpanan Shariah KWSP:
1. Semua ahli KWSP tanpa mengira agama, bangsa dan status warganegara boleh memilih Simpanan Shariah.
2. Simpanan Shariah diuruskan dan dilaburkan berdasarkan Akad Wakalah.
3. Simpanan Shariah diperakukan oleh Jawatankuasa Penasihat Shariah (JKPS).
4. Kadar dividen yang akan diisytiharkan untuk Simpanan Shariah adalah berdasarkan prestasi sebenar pelaburan patuh Syariah yang diuruskan dan dilaburkan oleh KWSP.

5. Jika akaun saya ialah Simpanan Shariah, adakah penyata tahunan saya akan berbeza?
Tidak, ahli akan menerima penyata tahunan yang sama. Penyata tahunan tersebut akan menyatakan status akaun ahli dan tarikh kuat kuasa Simpanan Shariah.

6. Bolehkah saya mengakses Simpanan Shariah melalui i-Akaun?
Ya, ahli boleh mengakses Simpanan Shariah melalui i-Akaun.

7. Bagaimanakah KWSP memastikan Simpanan Shariah yang bakal ditawarkan kekal statusnya sebagai patuh Syariah?
KWSP akan mewujudkan rangka kerja tadbir urus Syariah yang komprehensif bagi memastikan operasi dan aktiviti pelaburan Simpanan Shariah mematuhi garis panduan dan parameter pelaburan patuh Syariah yang diluluskan oleh Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS). Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS) juga akan memberikan pernyataan dan laporan pematuhan Syariah berkaitan Simpanan Shariah bagi setiap tahun kewangan sebagai sebahagian daripada keperluan tadbir urus korporat KWSP.

8. Sekiranya saya memilih Simpanan Shariah KWSP, adakah akaun saya perlu disucikan dari sebarang pendapatan tidak patuh Syariah?
Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS) telah memutuskan pertukaran ke Simpanan Shariah dikecualikan daripada penyucian dividen. Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang telah diadakan pada 18 Ogos 2015 juga telah memutuskan KWSP tidak diwajibkan untuk melakukan penyucian terhadap dividen simpanan semua ahli KWSP yang bersetuju untuk bertukar ke Simpanan Shariah. Walau bagaimanapun, sekiranya ada ahli yang ingin melakukan penyucian dividen secara individu, ahli boleh melakukannya dengan merujuk kepada garis panduan penyucian dividen yang akan ditetapkan oleh Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS).

9. Adakah terdapat sebarang perubahan terhadap polisi penamaan bagi Simpanan Shariah?
Penamaan bagi ahli Simpanan Shariah adalah sama seperti polisi penamaan yang sedia ada termasuklah penama bagi ahli beragama Islam, hanyalah bertindak sebagai wasi/pentadbir yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan pembahagian simpanan KWSP ahli mengikut Syariah manakala penama bagi ahli bukan beragama Islam adalah pemilik mutlak/benefisiari, selaras dengan keputusan Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS).

10. Adakah KWSP akan membuat pembayaran zakat untuk simpanan ahli? Adakah ahli perlu membayar zakat selepas membuat pengeluaran Simpanan Shariah? Adakah kadar dividen yang diagihkan telah dikenakan zakat?
KWSP tidak akan mengeluarkan zakat ke atas simpanan KWSP ahli termasuk dividen kerana ahli KWSP tidak mempunyai pemilikan sempurna terhadap simpanan KWSP mereka yang merupakan salah satu syarat wajib mengeluarkan zakat.

Jawatankuasa Penasihat Shariah KWSP (JKPS) memutuskan pemilikan sempurna ahli KWSP ke atas simpanannya adalah apabila simpanan tersebut layak dikeluarkan dan boleh digunakan oleh ahli tanpa sebarang sekatan. Ahli KWSP beragama Islam wajib mengeluarkan zakat ke atas simpanan KWSP yang layak dikeluarkan sekiranya mencapai nisab (kadar minimum yang bersamaan dengan nilai semasa 85 gram emas).

Jenis-jenis pengeluaran yang tertakluk kepada pembayaran zakat adalah:
- Pengeluaran Umur 50 Tahun
- Pengeluaran Umur 55 Tahun
- Pengeluaran Meninggalkan Negara
- Pengeluaran Pekerja Berpencen Dan Pengeluaran Pesara Pilihan
- Pengeluaran Simpanan Melebihi RM 1 Juta

Bukan sahaja di kalangan kaum Melayu yang banyak mohon simpanan shariah, bahkan kaum Cina dan India juga ramai yang daftar simpanan shariah KWSP bermula 8 Ogos 2016 yang lepas. Moga perkongsian 10 perkara penting tentang Simpanan Shariah KWSP menambah pengetahuan kita bersama.


Artikel menarik:

2 comments: