Garis Panduan Dan Arahan
Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) | Semua calon SPM wajib
mematuhi arahan yang tertera dalam jadual
waktu peperiksaan SPM sebelum menduduki peperiksaan. Calon SPM dikehendaki
membaca dan memahami garis panduan peperiksaan SPM yang terdapat dalam jadual
waktu exam SPM.
Untuk calon SPM: Jadual
Waktu Peperiksaan SPM 2016
Garis Panduan Dan Arahan Peperiksaan Untuk Calon SPM |
Patuhi arahan, amaran, larangan dan peringatan
1. ARAHAN AM UNTUK CALON SPM
1.1 Calon wajib menduduki semua kertas peperiksaan bagi mata
pelajaran yang didaftar. Calon yang tidak dapat menduduki mana-mana kertas
peperiksaan bertulis atau melaksanakan ujian lisan khusus calon persendirian
akan dianggap TIDAK HADIR bagi mata pelajaran berkenaan. Calon yang
tidak dapat menduduki atau tidak hadir sesuatu kertas peperiksaan dikehendaki
mengemukakan dokumen sokongan seperti surat perakuan doktor atau surat
kebenaran khas Pengarah Peperiksaan. Dokumen sokongan ini hendaklah diserahkan
kepada Ketua Pengawas Peperiksaan sebelum tamat tempoh peperiksaan SPM 2016.
1.2 Calon hendaklah menyemak butiran pada Kenyataan Kemasukan
Peperiksaan sebelum peperiksaan. Calon hendaklah memaklumkan kepada pihak
JPN sekiranya terdapat kesilapan maklumat dan mengisi Borang Pembetulan
Maklumat Calon. Calon dikenakan bayaran RM30.00. Pembayaran hendaklah
dibuat kepada pihak JPN atas nama Pengarah Peperiksaan tempat calon
mendaftar menggunakan Kiriman Wang/Wang Pos.
1.3 Calon hendaklah membaca Garis Panduan dan Arahan Peperiksaan yang
dinyatakan dalam Jadual Waktu Peperiksaan SPM 2016 dan menandatangani Borang
Pengakuan Calon.
2. ARAHAN DI DEWAN/BILIK PEPERIKSAAN
2.1 Calon hendaklah berada di tempat duduk di dalam dewan/bilik
peperiksaan 15 minit sebelum peperiksaan dimulakan.
2.2 Calon hendaklah meletakkan Kad Pengenalan atau Dokumen
Pengenalan Diri atau Perakuan Pengenalan Diri dan Kenyataan
Kemasukan Peperiksaan di penjuru kanan sebelah label meja sepanjang waktu
peperiksaan. Calon dilarang menduduki peperiksaan tanpa dokumen berkenaan.
2.3 Calon dibenarkan menduduki peperiksaan atas budi bicara Ketua
Pengawas Peperiksaan sekiranya tiba 30 minit selepas peperiksaan dimulakan.
Calon mesti mengemukakan alasan yang kukuh. Masa gantian tidak akan diberikan.
2.4 Calon boleh membuat bantahan sekiranya telah mendaftar untuk
menduduki sesuatu mata pelajaran tetapi kod kertas peperiksaan tersebut tidak
tercatat dalam Jadual Kedatangan. Calon hendaklah mengemukakan Kenyataan
Kemasukan Peperiksaan dari Lembaga Peperiksaan yang mengandungi kod
kertas, nama kertas dan jenis peperiksaan SPM 2016 sebagai bukti
pendaftaran. Calon tidak dikenakan bayaran.
3. ARAHAN TENTANG KERTAS PEPERIKSAAN SPM
Calon hendaklah:
3.1 menyemak butiran kod kertas, nama kertas, masa peperiksaan dan
arahan pada muka hadapan kertas peperiksaan bagi memastikan calon mendapat
kertas peperiksaan yang betul.
3.2 memaklumkan kepada Ketua Pengawas Peperiksaan dengan segera jika
menerima kertas peperiksaan yang salah atau tidak lengkap.
3.3 membaca dan mematuhi semua arahan pada muka hadapan dan
muka belakang (jika ada) kertas peperiksaan sebelum peperiksaan dimulakan.
4. ARAHAN TENTANG KERTAS JAWAPAN DAN SKRIP
JAWAPAN PEPERIKSAAN SPM
Calon hendaklah:
4.1 menulis Nombor Kad Pengenalan atau Nombor Pengenalan Diri dan
Angka Giliran dengan jelas dan betul di muka hadapan skrip jawapan
peperiksaan.
4.2 menulis Angka Giliran, Nombor Kad Pengenalan atau Nombor
Pengenalan Diri, Nama Kertas, Kod Kertas dan Nombor Soalan dengan
jelas dan betul di muka hadapan Helaian Tambahan (HT).
4.3 menulis jawapan dengan menggunakan pena mata bola berdakwat hitam
atau biru. Pensel atau pena mata bola berdakwat selain hitam atau biru boleh
digunakan untuk melukis gambar rajah dan peta.
4.4 menulis semua jawapan dalam Bahasa Melayu kecuali bagi kertas
peperiksaan yang membenarkan atau memerlukan calon menjawab dalam bahasa lain.
4.5 menulis dengan jelas nombor soalan pada kertas jawapan seperti
yang tertera pada kertas peperiksaan. Calon tidak perlu menyalin soalan.
4.6 memastikan Angka Giliran, Nombor Kad Pengenalan, Nama Kertas,
Kod Kertas dan Nombor Soalan telah ditulis dengan betul pada ruangan
yang disediakan pada kertas peperiksaan dan kertas jawapan seperti Buku Jawapan
(BJ) dan HT apabila diarah berhenti menulis.
4.7 memastikan setiap helaian tambahan disusun mengikut urutan nombor
soalan sebelum diikat bersama kertas peperiksaan atau BJ.
4.8 berada di tempat duduk yang ditetapkan semasa skrip jawapan
peperiksaan dikumpul semula oleh Pengawas.
5. ARAHAN TENTANG JAWAPAN OBJEKTIF BERMAKLUMAT
(JOB) DAN JAWAPAN OBJEKTIF TIDAK BERMAKLUMAT (JOTB)
5.1 Calon yang menerima kertas JOB hendaklah menyemak Nama Calon,
Angka Giliran, Nombor Kad Pengenalan, Kod Kertas dan Nama Kertas pada
kertas JOB berkenaan. Calon dilarang membuat sebarang pindaan terhadap
maklumat yang telah dicetak pada Bahagian A. Kosongkan Bahagian B dan Bahagian
C.
5.2 Calon hendaklah memaklumkan kepada Ketua Pengawas Peperiksaan
dengan segera jika menerima kertas JOB yang salah atau tidak lengkap.
5.3 Calon yang menerima kertas JOTB hendaklah melengkapkan Nama
Calon, Angka Giliran, Nombor Kad Pengenalan, Kod Kertas dan Nama Kertas pada
ruangan yang disediakan dan hitamkan ruang yang berkenaan. Kosongkan Bahagian B
dan Bahagian C.
5.4 Calon hendaklah menanda ruangan BAHASA DIGUNAKAN untuk menjawab
kertas peperiksaan yang berkenaan.
5.5 Calon hendaklah menggunakan pensel 2B atau BB sahaja.
5.6 Calon hendaklah memastikan ruang jawapan yang dihitamkan memenuhi
keseluruhan ruang.
5.7 Calon hendaklah menggunakan getah pemadam jenis lembut sahaja
untuk memadamkan hingga bersih tanda jawapan yang tidak dikehendaki. Calon
dilarang menggunakan pemadam jenis cecair, kimia, pelekat atau seumpamanya.
5.8 Calon dilarang melipat, menggulung atau merenyuk Kertas JOB dan
JOTB.
5.9 Calon dilarang membuat lubang atau apa-apa tanda yang tidak
dikehendaki pada Kertas JOB dan JOTB.
6. AMARAN CALON SPM DI DEWAN/ BILIK PEPERIKSAAN
Calon tidak dibenarkan:
6.1 melipat atau merenyuk kertas jawapan sama ada yang belum atau pun
yang telah digunakan.
6.2 keluar dari dewan/bilik peperiksaan 30 minit pertama peperiksaan
dimulakan dan 10 minit terakhir sebelum peperiksaan ditamatkan kecuali dengan kebenaran
Ketua Pengawas Peperiksaan.
6.3 membawa keluar dari dewan/bilik peperiksaan kertas peperiksaan
sebelum peperiksaan tamat.
6.4 mengganggu ketenteraman di dalam atau berhampiran dewan/bilik
peperiksaan semasa peperiksaan.
6.5 memakai pakaian yang tidak sopan dan mencolok mata.
6.6 merokok di dalam dewan/bilik peperiksaan.
7. LARANGAN CALON SPM DI DEWAN/ BILIK PEPERIKSAAN
Calon dilarang:
7.1 membawa masuk sebarang catatan sama ada pada pakaian atau anggota
badan, nota, dokumen seperti buku, lukisan, grafik, akhbar, kamus, kertas,
Jadual Waktu Peperiksaan serta telefon bimbit, alat-alat komunikasi atau
peranti elektronik, bekas alat tulis dan beg ke dalam dewan/bilik peperiksaan
kecuali alat tambahan yang dibenarkan semasa peperiksaan.
7.2 menulis nota pada pakaian, anggota badan, dinding atau meja tulis
di dewan/bilik peperiksaan.
7.3 mendedahkan kertas peperiksaan atau/dan jawapan peperiksaan
sehingga boleh dibaca oleh calon lain.
7.4 memberikan pertolongan, mendapatkan pertolongan, berhubung dengan
orang lain di dalam atau di luar dewan/bilik peperiksaan walau dengan apa cara
sekalipun yang boleh disabitkan dengan perbuatan salah laku dalam peperiksaan.
7.5 menukar kertas peperiksaan atau/dan jawapan peperiksaan dengan
calon lain. 7
7.6 menukar tempat duduk yang telah ditetapkan tanpa kebenaran
daripada Ketua Pengawas Peperiksaan.
7.7 menyamar atau membenarkan orang lain menyamar bagi pihak calon.
7.8 membuat rujukan di luar dewan/bilik peperiksaan semasa
peperiksaan.
7.9 membawa kertas peperiksaan keluar dari dewan/bilik peperiksaan
semasa peperiksaan.
7.10 membawa kertas/skrip jawapan peperiksaan sama ada yang belum atau
pun yang telah digunakan keluar dari dewan/bilik peperiksaan.
7.11 membawa kertas peperiksaan tertutup keluar dari dewan/bilik
peperiksaan.
8. PERINGATAN UNTUK CALON SPM
Calon yang melanggar sebarang peraturan peperiksaan dalam Bahagian C:
7. Larangan di Dewan/Bilik Peperiksaan dianggap salah laku dan akan menyebabkan
calon dikenakan tindakan tatatertib. Menurut Peraturan-Peraturan Pendidikan
(Penilaian dan Peperiksaan) 1997 dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) salah
laku ertinya menipu, menyamar, menyeludup apa-apa yang tidak dibenarkan atau
apa-apa salah laku yang lain yang disifatkan sebagai suatu salah laku serius
oleh Lembaga Peperiksaan. Calon yang disabitkan dengan mana-mana salah laku
boleh dikenakan tindakan berikut:-
i. keputusan peperiksaan digantung sementara menunggu selesainya
penyiasatan;
ii. keputusan peperiksaan mana-mana kertas peperiksaan dibatalkan;
iii. keputusan peperiksaan yang dikendalikan di sesuatu pusat
peperiksaan diisytiharkan terbatal.
Moga perkongsian garis panduan
dan arahan peperiksaan SPM
memberi manfaat khasnya kepada calon SPM. Patuhi amaran, larangan dan arahan.
Moga anda dapat menjawab dengan baik sepanjang peperiksaan Sijil Pelajaran
Malaysia dijalankan. Good luck semua.
This comment has been removed by the author.
ReplyDelete