Sinopsis Novel Pantai Kasih Bab 1 – 9

Sinopsis Novel Pantai Kasih Semua Bab (Bab 1 Hingga Bab 9) | Novel Pantai Kasih karya Azmah Nordin merupakan novel KOMSAS tingkatan 4. Novel pantai Kasih mencetus kontroversi kerana dianggap lucah. Namun, novel Pantai Kasih ni diluluskan oleh pihak KPM dan dibenarkan jadi bahan pembelajaran di sekolah.

Jom baca sinopsis novel Pantai Kasih untuk keseluruhan bab, dari bab 1 sehingga bab 9. Lepas baca, buat ulasan novel Pantai Kasih, pilih apa tema novel Pantai Kasih, persoalan novel Pantai Kasih, benda sebegini kan penting dalam ujian.

Sinopsis Novel Pantai Kasih Bab 1

Raiha, seorang doktor pakar yang baharu menyertai Pusat Rawatan Pantai Kasih (PRPK) menghadapai masa sukar apabila sentiasa terkenang peristiwa silam yang mengiringi perjalanan hidupnya. Raiha amat terkesan dengan tugasan yang diberikan oleh Doktor Uwang untuk membuat pembedahan kali keenam ke atas pesakit yang bernama Unong Siron.
  
sinopsis novel pantai kasih bab 1 – 9, sinopsis novel pantai kasih bab 1, ulasan novel pantai kasih, tema novel pantai kasih, persoalan novel pantai kasih, pantai kasih sinopsis bab
Sinopsis novel Pantai Kasih

Raiha berasa curiga mengapa pembedahan yang sama dilakukan sebanyak lima kali ke atas pesakit pada tempat pembedahan yang sama. Walaupun selesai menjalankan tugasan dengan jayanya, namun Raiha berpendapat bahawa pembedahan tersebut tidak harus berulang kali terutama kepada pesakit daripada kalangan golongan menengah dan ke bawah.

Prinsip hidup Raiha iaitu memuaskan semua pihak, sebaik mungkin dan seboleh mungkin telah mencurigakan kredibiliti Doktor Idolanya itu. Raiha juga dibayangi dengan kenangan silam iaitu rasa pendam cintanya terhadap Doktor Uwang tetapi telah terpadam selepas dia memilih Doktor Sadiz sebagai suami.

Namun, kenangan itu sukar dilupakan terutama sewaktu dia memberikan bantuan kepada Doktor Uwang dalam pembentangan seminar. Raiha juga teringat akan ayahnya yang membentak apabila Raiha menyuarakan hasrat untuk berkahwin dengan Doktor Sadiz.

Ayahnya yang berjaya membesarkan dua orang adik lelaki tirinya menjadi golongan professional berpendapat bahawa pemilihan Doktor Sadiz sebagai suaminya adalah kurang tepat dan akan menyebakan kesengsaraan pada masa depan. Ingatan terhadap larangan ayahnya supaya bidang pakar pembedahan tidak menjadi pilihan kerana berpendapat bidang tersebut tidak sesuai dan tidak berfaedah kepadanya dalam jangka masa panjang.

Sister Felicia Landosi, jururawat kanan yang banyak pengalaman begitu tidak menyenangi Raiha apabila dia telah ditegur akibat melakukan sesuatu yang kurang menyenangkan di PRPK. Sister Felicia ditawarkan dengan gaji yang lumayan supaya bertugas di PRPK setelah bertugas di hospital kerajaan sebelum ini.

Felicia berpendapat teguran Raiha dan amaran Doktor Uwang terhadap aku janjinya sebelum ini menyesakkan dadanya dan tidak adil terhadap dirinya seterusnya membakar semangatnya hingga rentung. Dia berhasrat untuk melupakan peristiwa hitam pada malam yang menggemparkan itu.

Doktor Alex pula mengesyaki bahawa beliau bergaduh dengan Doktor Razak. Ingatannya juga kembali kepada kenangan lalu sewaktu anak Raiha disambar api di hadapan matanya. Ingatan itu sukar dilupakan dan menghantuinya selama ini. Dia juga sentiasa dibayangi keresahan khuatir tingkah lakunya diperhatikan terutama di ruang farmasi.

Dalam keadaan rakan sejawat yang sedang leka melaksanakan tugas Felicia dibayangi dengan prasangka. Sehingga jururawat Ariana yang sedang bercakap di gagang telefon dengan Doktor Razak turut diteguri kerana asyik bergayut di telefon sahaja. Atas permintaanya sendiri dia tidak bertugas pada sebelah pagi sebaliknya pada sebelah malam dan tugas rutin harian tidak perlu dilaksanakannya memberi peluang kepadanya untuk mengelakkan diri daripada bertembung dengan Rahia.

Pantai Kasih Bab 2

Doktor Uwang berpendirian tegas akan prinsip hidupnya, dia tidak mahu ada orang asing di rumahnya, apatah lagi mengupah orang gaji. Malahan anak tunggal hasil keterlanjurannya dahulu pun dihantar belajar di sekolah swasta berasrama seawal usia tujuh tahun lagi sehingga anaknya itu kekok untuk bersama-samanya apabila ada peluang pulang bercuti semesternya.

Doktor Uwang berpendapat anaknya itu tidak harus pulang langsung kerana memalukannya sahaja. Ketegasan Doktor Uwang terhadap bisnes kesihatan menjadikannya sebagai salah seorang doktor berwibawa yang banyak membawa keuntungan kepada PRPK. Ayah mentuanya yang menyerahkan PRPK kepadanya turut berpendapat bahawa untuk kaya tidak harus ada halangan asalnya berusaha. Walaupun agak kesal menyerahkan PRPK kepada Doktor Uwang, namun akur dengan kehebatan menantunya menerajui PRPK.

Doktor Uwang menganggap ayah mentuanya sama seperti Raiha yang adakalanya seperti memperkecil-kecilkannya kewibawaannya tetapi dia berpendapat bahawa untuk mendapat kesihatan yang baik mestilah menggunakan kecanggihan alat perubatan. Doktor Uwang juga sering mengeluh kesakitan pada pergelangan tangannya dan kepala lututnya namun belum sempat membuat diagnosis tepat terhadap penyakitnya itu. Oleh sebab dia kurang sihat untuk melakukan pembedahan terhadap Unong Siron pada kali ini, tugas itu diserahkan kepada Raiha.

Namun sikap Raiha yang menjengkelkannya. Raiha mempersoalkan kejadian infeksi yang berlaku kepada Unong Siron. Peribadi Raiha yang dikenali sewaktu menjadi siswi dengan yang ada sekarang amat berbeza. Dahulu Raiha menaruh hati terhadapnya tetapi sekarang sudah lenyap dan menganggap Raiha sudah angkuh dan beranggapan Raiha tidak bersyukur dengan tawaran berkhidmat di PRPK miliknya.

Doktor Uwang juga teringat kembali terhadap kanak-kanak perempuan yang sudah meninggal dunia dan sentiasa membayangi hidupnya. Lamunannya tersentak apabila ingatannya juga turut dibayangi oleh peristiwa pencerobohan doktor palsu yang menyamar di PRPK miliknya.

Pantai Kasih Bab 3

Sister Felicia menjalankan rutin hariannya seperti biasa. Dia menemui pesakitnya di bilik VVIP yang digambarkan seperti hotel bertaraf lima bintang. Dia mengambil suhu dan mengukur nadi pesakit yang bergelar Datin itu dengan berhati-hati. Baginya merawat pesakit berkelas menengah atas ini perlukan kesabaran dan layanan yang tinggi.

Pesakit itu perasan akan perubahan diri Sister Felicia yang kelihatan pucat lalu ditegurnya tetapi dia mengatakan bahawa keadaannya seperti biasa sahaja, barangkali cuaca musim kemarau panjang ini menyebabkan keadaanya begitu. Dia terbayang kembali peristiwa ketika dia bersama Doktor Sadiz yang berkesudahan dengan gambaran kematian anak perempuannya yang rentung akibat disambar api yang sedang marak membakar kereta mewah doktor itu.

Selepas memeriksa pesakit yang bergelar Datin itu, Felicia kemudiannya ke dapur dan menikmati ais krim milik Raiha sambil teringat kembali zaman dia menjadi pelajar bidang kejururawatan dahulu.  Walaupun dia mempelajari bidang perubatan tetapi dia masih tidak berupaya mengubati dirinya yang terluka. Malah dia mengambil ubat batuk sebagai penawar kelukaan hatinya.

Felicia sering mendengar keluhan ibu Unong Sairon yang mengeluh tentang pembedahan anaknya yang keenam sama ada berjaya ataupun tidak kerana kemampuannya hanya setakat itu sahaja disebabkan semua wang insurans anaknya sudah dihabiskan untuk belanja perubatan tersebut.

Raiha masih teringat akan peristiwa hitamnya. Pelbagai pertanyaan menerpa benaknya tentang punca kematian anaknya juga tentang keputusan perbicaraan Raiha menentang Sadiz yang akhirnya berpihak kepada bekas suaminya itu.

Raiha juga teringat akan Doktor Sadiz yang menyalahkan dirinya atas kematian anak perempuan mereka. Raiha pula memberitahu bahawa semuanya berpuca daripada Doktor Sadiz menyebabkan sanak saudara yang selama ini menyokongnya semakin berundur dari hidupnya.

Raiha juga teringat akan layanan kasar Felicia terhadap ibu pesakitnya Unong Siron, masyarakat kelas menengah bawah. Sergahan Raiha terhadap Felicia menyebabkan Felicia kecil hati dan berasa amarah dengan tindakan Raiha walaupun sebenarnya tindakannya mengasari ibu pesakit adalah salah.

Raiha berasa bersalah akan tindakannya menegur sikap Felicia. Dia teringat kisah lama antaranya dengan Felicia. Mereka bersekolah di sekolah yang sama, tetapi Felicia menghilangkan diri selepas kematian ibunya. Mereka bertemu di Hospital Kinabalu selepas sekian lama menghilang. Pada ketika itu Felicia seorang jururawat manakala Raiha sudah menjadi doktor.

Raiha masih teringat akan sergahan Doktor Sadiz terhadapnya. Doktor Sadiz menyatakan bahawa Raiha sengaja melarikan kereta mewahnya. Bukan itu sahaja Doktor Sadiz juga menyatakan bahawa barang kemas yang dibelikannya juga turut dibawa lari oleh Raiha.  Namun Raiha cuba menyangkal dengan mengatakan bahawa barang kemas yang dibawa adalah barang kemas miliknya, hasil titik peluhnya sendiri.

Doktor Sadiz bersumpah sampai mati sekalipun dia tidak akan melepaskan Raiha. Doktor Sadiz mahu Raiha merana, gantung tidak bertali sebagai balasan tergamak memalukannya di mata golongan masyarakat elit.

Pantai Kasih Bab 4

Raiha tiba di rumahnya, sebuah apartment di tingkat enam yang terletak tidak jauh dari Pusat Rawatan Pantai Kasih. Sepanjang perjalanan, Raiha teringat akan peristiwa hitam misteri kematian anaknya, dan kekalahan kes tersebut di tangan bekas suaminya.

Raiha juga teringat akan Doktor Sadiz yang melayani dengan baik sebelum peristiwa hitam muncul. Raiha ingat ketika dia mengandungkan bayi hasil persenyawaan sperma suaminya itu. Dia juga teringat akan permintaan Doktor Sadiz supaya menggugurkan bayi yang sedang dikandungnnya itu kerana kehadiranya bayi tersebut tidak direstui apatah lagi sudah diketahui fizikal bayi tersebut yang kelebihan kromosom akan menyebabkan dia malu dengan masyarakat.

Anak-anak dengan bekas isterinya tidak ada yang cacat. Raiha tidak tergamak hendak membunuh bayi tersebut apatah lagi bayi tersebut sah hukum dan mempunyai hak untuk hidup. Akhirnya bayi tersebut lahir dan diberi nama Rohayu atau panggilannya ‘Ayu’.

Kegelisahan Dotu Untong terhadap panggilan palsu tentang pencerobohan di Pusat Rawatan Pantai Kasih miliknya. Kegelisahan turut dirasai oleh isteri Doktor Uwang, namun tidak diendahkan oleh Doktor Uwang akan rungutan dan kegusaran isterinya itu. Doktor Uwang berpendapat isteri serta bapanya tidak harus ambil peduli tentang pencerobohan di Pusat Rawatan Pantai Kasih.

Doktor Uwang juga teringat akan persoalan yang diajukan oleh emak Unong Siron yang mempersoalkan kewibawaannya menangani kes pembedahan penggantian tulang pinggul hingga keenam kalinya itu. Namun, dia sudah menetapkan pendiriannya bahawa dia akan berbuat apa-apa sahaja untuk memberikan hasil baik berpihak kepadanya.

Asalkan keuntungan berlipat kali ganda masuk ke ke poketnya sudah memadai, tidak perlu memikirkan bagaimana mereka mendapatkan wang membayar kos perubatan di situ. Doktor Uwang mengelamun sambil menonton rancangan ‘Money Matters’ di televisyen. Lamunannya hingga ke peristiwa anak pakciknya rentung dan disaksikan di hadapan matanya sendiri.   

Felicia memasuki bilik farmasi lagi. Tiba-tiba muncul seorang pesakit lelaki. Dengan garangnya pesakit itu bertanyakan tentang infeksi yang terjadi kepadanya. Felicia bingkas ingin memanggil Doktor Mohammad namun dihalang oleh pesakit tersebut. Lalu Felicia mencadangkan Doktor Uwang. Cadangannya itu tidak dipersetujui oleh pesakit tersebut sebaliknya dia mahukan Doktor Raiha. Feilcia memberitahu bahawa Doktor Raiha tidak ada dan pesakit itu tidak memperpercayainya.  

Felicia cuba menjelaskan hal yang sebenar kepada pesakit itu tetapi pesakit itu digambarkan melemparkan simen dan splinnya ke arahnya menyebabkan  Felicia terjelopok, namun itu hanyalah hayalan Felicia semata-mata. Apabila Felicia mengangkat muka suasana menjadi berubah apabila didapati dia berada di stor Pusat Rawatan Pantai Kasih.

 Pantai Kasih Bab 5

Doktor Uwang melarikan diri daripada diganggu bayangan anak perempuan pakciknya yang mati secara sadis dengan mengunjungi kelab malam serba eksklusif. Walaupun dia mencari ketenangan namun tidak ditemui di kelab malam mewah itu, kerana asyik diperhatikan oleh seorang wanita sejak dia tiba di situ.

Tiba-tiba wajah Raiha muncul dalam fikiran Doktor Uwang, begitu juga dengan Unong Siron yang baharu selesai menjalani pembedahan penggantian sendi pinggul yang keenam. Dia tidak mahu bayangan mereka menggangu hasratnya untuk mengaut keuntungan di Pusat Rawatan Pantai Kasih itu.

Doktor Uwang yang menghabiskan masa menikmati kehangatan kelab malam sememangnya seorang yang pemilih. Kupu-kupu malam yang menjadi isteri-isteri tidak rasminya haruslah dipastikan akan kebersihan dan kesihatan mereka terlebih dahulu. Doktor Uwang melihat gelagat pengunjung kelab malam mewah itu.

Tiba-tiba wanita yang dilihatnya dalam kelab malam itu berubah menjadi gadis mirip Unong Siron dan seorang lagi berubah menjadi anak perempuan pakciknya. Kehadiran mereka dalam fikirannya amat tidak disenangi. Tiba-tiba dirasainya kepala lutut dan kedua-dua pergelangan tangan menjadi ngilu yang amat sakit.

Felicia berasa kurang senang dengan Raiha yang cuba menganggu kredibilitinya selama ini. Felicia juga berasa terkejut apabila Doktor Mohammad menyatakan dia mendapat panggilan palsu. Sister Felicia mencadangkan supaya Doktor Mohammad pulang sahaja dan berehat di rumah sebaliknya ditolak malah Doktor Mohammad bercadang untuk bermalam di bilik rehat Pusat Rawatan Pantai Kasih sahaja pada malam itu. 

sinopsis novel pantai kasih bab 1 – 9, sinopsis novel pantai kasih bab 1, ulasan novel pantai kasih, tema novel pantai kasih, persoalan novel pantai kasih, pantai kasih sinopsis bab
Kontroversi novel Pantai Kasih kerana dianggap lucah

Dalam keadaan separa khayal dan didatangi dengan beberapa peristiwa hitam yang menganggu hidupnya, Sister Felicia pengsan di bilik air.

Pantai Kasih Bab 6

Doktor Uwang teringat kisah kereta Porsche milik Doktor Sadiz yang terbakar. Kisahnya bermula apabila ayah Doktor Uwang iaitu Doktor Ontong meminta Doktor Uwang menghantar pak usunya Doktor Sadiz pulang selepas sama-sama meraikan tahun baru di rumahnya.

Dalam perjalanan sewaktu hendak menghantar Felecia dan Doktor Sadiz pulang, Doktor Sadiz mendapati pindu kondo tempat tinggalnya terbuka dan terdedah luas. Doktor Sadiz juga berasa aneh kerana kereta Porsche yang diletakkan di garaj juga tidak ada di tempatnya. Doktor Sadiz bergegas keluar dari kereta itu bingkas menuju ke kondominiumnya. TIdak sampai lima minit kemudian, Doktor Sadiz muncul lagi dengan wajah muncung dan merungut-rungut.

Doktor Sadiz marah kerana Raiha membawa lari keretanya. Doktor Uwang menawarkan diri untuk membantu pakciknya itu. Doktor Sadiz meminta Doktor Uwang menghantarnya ke lokasi tempat tinggal Raiha.

Sister Felicia yang ada dalam kenderaan Doktor Uwang bercadang untuk pulang sendiri tetapi dihalang oleh Doktor Uwang yang akan menghantarnya pulang selepas selesai membantu Doktor Sadiz. Doktor Uwang juga menyatakan hasrat untuk menaikkan pangkat Sister Felicia kerana didapati Felicia komited dengan tugasnya selama ini.

Mereka memerhatikan saat Doktor Sadiz muncul dengan gelen minyak yang kosong. Lamunan Doktor Uwang tersentak apabila ada panggilan kecemasan dari Pusat Rawatan Pantai Kasih. Isterinya menyatakan bahawa Doktor Raiha ingin membincangkan hal pesakit Uning Siro dan panggilan tersebut amat penting.

 Di ruang tamu apartment tempat tinggal Raiha, dia dikejar perasaan takut dan tidak tenteram. Raiha teringat bagaimana dia mempersoalkan kewibawaan Doktor Uwang sehingga terpaksa menjalankan pembedahan kali kelima terhadap pesakit yang sama di tempat yang sama membuatkan Doktor Uwang marah dan tersinggung.

Raiha juga berasa resah apabila Pusat Rawatan Pantai Kasih diceroboh serta peristiwa hitam yang sering datang dalam ingatannya. Malah Sister Felicia juga melayan kasar emak Unong Siron. Felicia yang memanggil emak Unong sebagai ‘sapi tua’ menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku antaranya dengan emak Unong ketika itu.  Felicia menganggap ‘sapi tua’ itu keterlaluan dan menuduhnya tidak jujur membuat cadangan pembedahan di Pusat Rawatan Pantai Kasih.

Raiha berpendapat bahawa walau apa juga yang dinyatakan oleh Felicia, dia tidak sepatutnya melayan emak Unong dengan kasar begitu. Bagi Raiha yang penting adalah kebajikan para pesakit dan ahli keluarga yang turut terlibat dalam rawatan itu. Mengasari orang yang memang sedia menderita sakit pada badan dan mental, adalah kejam dan meminta Felicia supaya tidak mengulanginya lagi.

Deringan telefon menyentak lamunan Raiha. Panggilan telefon itu memintanya datang segera ke Pusat Rawatan Pantai Kasih. Dia tidak terus bingkas ke sana sebaliknya wajah arwah ayahnya menerjah dalam ingatannya. Arwah ayahnya memang tidak merestui hasratnya untuk menjadi pakar bedah.

Walaupun arwah bapanya seorang pakar bedah tetapi dia berpendapat tugas sebegitu tidak sesuai digalas oleh Raiha. Hati Raiha geram dengan telahan bapanya itu lalu dia bingkas bangun dan tergopoh gapah melangkah keluar dari apartmentnya menuju ke Pusat Rawatan Pantai Kasih.

Pantai Kasih Bab 7

Felicia begitu tertekan dengan situasi di tempat kerja apatah lagi Doktor Usman sudah mulai mempertikaikan kewibawaannya setelah mendapati bahawa dia telah melakukan kesalahan besar. Doktor Uwang sering mempersoalkan tentang lafaz yang pernah dibuat oleh Felicia ketika mengikuti Kursus Kejururawatan.

Felicia juga tertekan dengan serkahan ‘sapi tua’ iaitu ibu Unong Siron tentang musibah anaknnya berpunca daripada Felicia sendiri. Felicia berasa bahawa dirinya diperendahkan hingga setaraf dengan jiran tetangga sewaktu dia masih dalam alam kanak-kanak hingga alam remaja menyebabkan dia sungguh malu. Kepahitan hidupnya menyebabkan dia berjinak-jinak dengan ubat batuk supaya dia dapat melupakan kisah silamnya.

 Felicia juga jengkel dengan sikap Raiha yang dahulunya adalah merupakan rakan karib sekelasnya. Dia tertekan dengan peristiwa hitam yang mencemarkan sejarah hidupnya. Dia sering teringat akan masyarakat jirannya yang mengatakan bahawa dia merupakan golongan masyarakat kelas menengah bawah begitu juga tentang kelahirannya yang tiada diketahui bapa kandungnya. Kenangan hitam itu menghantui dirinya kerana ibunya yang dianggap liar itu menjadikan dia sebagai mangsa ejekan rakan-rakan sekolah.

Keadaannya semakin parah apabila dia mula berhalusinasi akibat kesan ubat batuk tersebut. Tiba-tiba dia didatangi oleh seorang lelaki kacak yang siap berpakaian seperti seorang doktor. Keadaan mamai menyebabkan Felicia tidak dapat melihat dengan jelas doktor muda itu, Doktor Muda itu bersimpati dengan keadaan Felicia dan kerana sikap prihatinnya itulah Felicia sanggup percaya dengan doktor muda itu.

Raiha yang dalam perjalanan ke Pusat Rawatan Pantai Kasih selepas mendapat panggilan kecemasan tadi mengambil keputusan untuk tidak lagi mempersoalkan kewibawaan Doktor Uwang sehingga mencetuskan ketegangan antaranya dan Doktor Uwang.

Setibanya di Pusat Rawatan itu Raiha bergegas ke wad yang dihuni oleh Unong SIron. Doktor Alex Ng menegurnya dengan mesra dan bertanya sebab dia kembali semula sedangkan waktu bertugasnya sudah tamat. Raiha menyatakan bahawa dia menerima panggilan kecemasan tentang Unong Siron.  Doktor Alex Ng menjelaskan bahawa mereka tidak membuat panggilan kecemasan tersebut.

Raiha teringat bahawa yang membuat panggilan tadi ialah Doktor Uwang sedangkan menurut Alex, Doktor Uwang sudah pulang siang tadi. Mungkin ini adalah panggilan palsu. Alex turut menjelaskan bahawa doktor-doktor lain turut juga menerima panggilan palsu seperti itu.  Terlanjur sudah berada di Pusat Rawatan Pantai Kasih, Raiha ingin menjenguk Unong Siron yang baharu sahaja dibedah senja tadi. Dalam benak fikirannya, Raiha berharap Unong akan berjaya pada kali ini.

 Pantai Kasih Bab 8

Raiha masih dihimpit dengan kenangan silam. Kenangan pedih bersama Doktor Sadiz dan kehilangan anak perempuan kesayangannya itu sering menghantuinya tanpa henti. Lamunannya terhenti apabila dia disapa oleh ibu Unong Siron yang inginkan kepastian keadaan anaknya selepas menjalani pembedahan kali ke-6 infeksi ke atas tulang pinggul.

Dia berjanji supaya tidak berulang lagi pembedahan yang menyebabkan ibu tua itu menghadapi kesukaran terutama apabila semua wang simpanannya habis. Dia juga berjanji tidak akan ada derita lagi pada Unong yang terpaksa menghabiskan masa lama di hospital.

Raiha dimaklumkan Sister Felicia Landosi ditahan oleh penceroboh yang menyamar sebagai doktor di situ. Keadaan menjadi huru-hara dengan berita tersebut. Ibu Unong Siron menawarkan diri untuk berunding dengan penceroboh kerana dia kenal penceroboh yang tinggal bersebelahan dengan kampungnya.

Ibu Unong Siron meminta penceroboh yang menyamar sebagai doktor itu membantu menyelamatkan anaknya yang parah. Hati penceroboh itu tersentuh dan membuka pintu kecemasan. Pengawal keselamatan meluru masuk ke dalam bilik tersebut tetapi dihalangi oleh Raiha yang menyatakan bahawa Unong Siron begitu parah dan dibawa ke hospital lain untuk mendapatkan rawatan dan meminta penceroboh itu ke hospital tersebut. Peristiwa itu berakhir di situ.

Ibu Unong Siron menceritakan bahawa sebenarnya penceroboh itu adalah bekas penuntut bidang perubatan sebuah universiti tempatan yang gagal dalam peperiksaan akhir semester.

 Pantai Kasih Bab 9

Sewaktu Doktor Uwang membelok masuk ke kawasan Pusat Rawatan Pantai Kasih, dia ternampak bayangan wajah anak saudaranya yang sudah meninggal dunia akibat rentung di dalam kereta mewah yang terbakar. Dia teringat waktu Doktor Mohammad dan Doktor Alex Ng memintanya bertugas walaupun sebenarnya dia ingin berehat di rumahnya daripada kengiluan pada kedua-dua belah pergelangan tangan dan kepala lututnya.

Doktor Uwang juga terimbas kembali tentang infeksi yang berulang kembali walaupun pembedahan kali keenam dilakukan ke atas Unong Siron dan menganggap sekiranya menjadi akut sekalipun bukanlah salahnya. Dia juga terbayang semua wajah pesakitnya yang pernah dibedah seolah-olah mahu berinteraksi dengannya. Kemudian disusuli dengan wajah seorang kanak-kanak perempuan yang seluruh badannya melecur. Kesemua wajah-wajah ini mengganggu hidupnya kebelakangan ini.

Doktor Uwang juga teringat saat dia menghantar Doktor Sadiz dan Felicia Landosi pulang selepas menghadiri majlis sempena menyambut ketibaan tahun baru. Doktor Sadiz yang marah apabila mendapati Raiha membawa pulang kereta Porsche bersama-sama anak perempuannya.

Dia juga teringat ketika membawa Doktor Sadiz untuk membeli minyak petrol selepas itu dan berhenti di sebuah rumah tumpangan pada tengah malam dan teringat saat kereta Porsche itu dijilat api tidak lama kemudian sehingga menyambar kanak-kanak perempuan yang secara kebetulan berada di situ.

Doktor Uwang juga terbayang wajah perempuan tua yang memohon simpati sebagaimana wajah-wajah waris pesakit golongan kelas menengah bawah yang lain. Perempuan tua itu bertanya tentang kesan sekiranya komplikasi masih berlaku walaupun anaknya sudah dibedah sebanyak enam kali.

Doktor Uwang masih mengatakan bahawa urusan wang bukanlah urusannya. Kemarahan perempuan tua itu menyebabkan Doktor Uwang tercabar apabila dicop sebagai doktor mata duitan. Doktor Uwang tersentak apabila ingatannya kembali kepada penceroboh yang masuk dan menyamar sebagai Doktor di Pusat Rawatan Pantai Kasih.

Raiha teringat sikap Doktor Sadiz yang tidak akan memaafkannya walaupun sampai dia meninggal dunia. Doktor Sadiz akan membiarkan hidup Raiha tergantung tanpa tali. Raiha turut melihat sikap Doktor Sadiz yang keluar melangkah dari mahkamah keluarga dengan senyum sinis. Dia juga masih ingat dengan tidak dijangka-jangka kereta Doktor Sadiz yang memecut laju dan sedang mengekori lori minyak petrol merempuh belakang lori yang berhenti secara tiba-tiba di persimpangan lampu trafik.

Doktor Uwang telah merempuh tembok Pusat Rawatan Pantai Kasih, tubuhnya tidak dapat berfungsi dengan baik, malah tangannya berasa kebas dan lututnya kejang. Dia dikeluarkan dari kenderaan mewah yang dipandunya dengan bantuan pekerja-pekerja pusat rawatan tersebut. Raiha mengambil alih menyelamatkan nyawanya dan melakukan pembedahan ke atasnya.

Felicia Landosi memohon maaf terhadap Raiha atas penglibatan dirinya menjadi budak suruhan membeli minyak petrol oleh Doktor Sadiz yang akhirnya berjaya menjejaki Raiha dan menjadi saksi apabila Doktor Sadiz melepas geram dengan membakar kereta itu sendiri.

Dia sendiri terkejut apabila secara tiba-tiba anak Raiha muncul di situ dan langsung disambar api dan dia turut menyatakan bahawa sewaktu di mahkamah dia tidak tampil sebagai saksi kerana takut. Raiha akhirnya tersedar bahawa mereka adalah mangsa keadaan. Kredit: Novel Pantai Kasih

Dah baca kesemua sinopsis novel Pantai Kasih? Mula bab 1 sehingga bab 9? Habis? Pantai Kasih sinopsis bab 1 – 9 mengisahkan ketabahan Raiha berdepan dugaan sebagai isteri yang ditinggalkan suami tanpa cerai, kehilangan anaknya dalam insiden kebakaran dan mengalami cabaran di tempat kerja sebagai seorang doktor. Tabahnya Raiha menghadapi ujian hidup.

No comments:

Post a Comment