Hukum Mengucapkan Merry Christmas (Selamat Hari Natal) Dalam Islam
Bila
menjelangnya Hari Krismas, pasti kita tertanya-tanya bolehkah kita ucapkan Merry
Christmas kepada rakan kita? Adakah haram mengucapkan selamat natal? Apa hukum
mengucapkan natal menurut al quran? Penuh tanda tanya! Jom baca penerangan
tentang hukum mengucapkan Merry Christmas (Selamat Hari Natal) dalam Islam.
Hukum Orang Islam Ucap Merry Christmas
Tertarik
dengan artikel berikut mengenai hukum ucapan sempena perayaan agama lain. Bolehkah
kita sebagai orang Islam ucap Merry Christmas? Ada yang kata boleh. Ada yang
kata tak boleh! Mana satu ni? Ketahui apa hukum ucapan sempena perayaan agama
lain.
Soalan: Bolehkah Orang Muslim Bagi Ucapan Selamat Hari Raya Agama Lain?
Soalan:
Dr MAZA, kita negara yang berbilang agama. Ramai yang mempunyai kawan pejabat,
jiran dan lain-lain yang bukan muslim. Apabila tiba hari raya kita mereka
mengucapkan selamat hari raya. Masalahnya, apabila tiba giliran hari raya agama
mereka pulak, kita rasa macam serba salah. Bolehkah seorang muslim berikan
ucapan selamat hari raya agama lain. Saya takut rosak akidah, tapi ramai
pemimpin dan kawan-kawan muslim yang lain ucapkan. Saya pun risau juga
kawan-kawan bukan muslim kecil hati, tapi saya pun nak jaga akidah saya.
Bolehkah Dr Asri berikan pandangan?
Jawapan: Orang Islam Boleh Mengucapkan Selamat Natal / Merry Christmas
Jawapan
Dr MAZA: Saudara Munif, Alhamdulillah saudara prihatin dengan keadaan akidah
saudara di kala ramai yang tidak mempedulikan lagi kebersihan akidah mereka.
Akidah adalah pembeza utama antara seorang mukmin dan bukan mukmin. Seseorang
bagaimana banyak amalannya pun, tetapi jika akidahnya rosak, maka amalannya
ditolak. Maka penting untuk kita mempertahankan akidah dan kesuciannya.
Mengenai soalan saudara, ada beberapa perkara yang wajar difahami;
Hukum mengucapkan Merry Christmas (Selamat Hari Natal) dalam Islam menurut Dr Maza |
1. Islam mengharamkan seseorang muslim membuat apa-apa perbuatan atau ucapan yang mengiktiraf kekufuran atau kesesatan. Termasuk dalam hal ini membesarkan agama lain dengan mengucapkan ucapan yang mengagungkan atau mengiktiraf kekufuran, atau melakukan amalan ibadah yang mempunyai makna menyembah atau menyeru tuhan selain Allah. Maka, apa sahaja tindakan yang membawa kepada maksud yang disebutkan tadi adalah haram jika dilakukan dengan perbuatan atau ucapan. Jika disertai iktikad bahawa apa yang dilakukan itu benar atau betul, maka dia menjadi kafir.
Firman
Allah: (maksudnya)
“Sesiapa
yang kufur kepada Allah sesudah beriman (maka baginya kemurkaan Allah), kecuali
orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang jantung hatinya tenang tenteram
dengan iman; akan tetapi sesiapa yang terbuka dadanya menerima kufur maka atas
mereka ditimpa kemurkaan dari Allah, dan mereka pula beroleh azab yang besar.
(Surah al-Nahl, ayat 106).
2.
Dalam masa yang sama, Islam tidak membenarkan kita menzalimi bukan muslim dan
Islam menyuruh kita melakukan kebaikan kepada bukan muslim yang tidak memusuhi
kita kerana agama kita.
Firman
Allah (maksudnya):
“Allah
tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan memberikan sumbangan harta kepada
orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak
mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi
orang-orang yang berlaku adil. Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu
daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama
(kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang
lain) untuk mengusir kamu. dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman
rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim”. (Surah al-Mumtahah, 8-9)
3.
Juga, Islam menyuruh kita mengucapkan ucapan yang baik kepada orang yang
mengucapkan ucapan yang baik kepada kita. Firman Allah: (maksudnya):
“Dan
apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat, maka balaslah
penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan
cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”.
(Surah al-Nisa, 86).
Inilah
adab Islami yang tinggi. Ia merangkumi sesama muslim atau kepada bukan muslim.
Sehingga Ibn ‘Abbas r.a menyebut: “Jika Firaun berkata kepadaku ‘semoga Allah
memberkatimu, nescaya aku menjawab ‘untuk engkau juga’” (Riwayat al-Bukhari
dalam al-Adab al-Mufrad). Maka sudah pasti mereka yang tidak sejahat Firaun dan
tidak memusuhi Islam lebih layak untuk menerima ucapan balas.
4.
Oleh kerana dalam masalah mengucapkan tahniah ataupun “congratulating” sempena
perayaan agama lain mempunyai unsur seakan mengakui agama lain secara langsung
atau tidak langsung, dan dalam masa yang sama ada juga nilai berbuat baik
kepada bukan muslim yang tidak memusuhi Islam, maka para ulama berkhilaf
pendapat tentang hal ini. Bagi mereka yang melihat unsur mengiktiraf kekufuran,
mereka mengharamkan ucapan sempena perayaan agama lain.
Sementara
bagi mereka yang melihat ia bukan berunsur mengiktiraf kekufuran agama lain,
sebaliknya sekadar melakukan barr ataupun kebaikan kepada penganut agama lain
yang tidak memusuhi Islam, maka para ulama yang berpendapat sebegini
mengharuskan ucapan tersebut dengan syarat-syarat tertentu.
5.
Tidak boleh dinafikan bahawa selain nas-nas al-Quran dan al-Sunnah sebagai
asas, faktor keadaan, zaman dan persekitaran mempengaruhi para sarjana Islam
dalam melihat kepada isu ini. Kitab-kitab yang ditulis pada persekitaran muslim
begitu dominan dan tiada keperluan untuk melakukan ucapan tersebut kelihatan
keras dan mengharamkan ucapan sempena perayaan agama lain.
Sementara,
ramai juga sarjana terutama di zaman kini yang mempunyai persekitaran yang baru
dan keperluan untuk memperlihatkan keharmonian Islam kepada bukan Islam,
fatwa-fatwa mereka ini lebih lunak dan mengizinkannya dengan syarat-syarat
tertentu.
6.
Syeikh Islam Ibn Taimiyyah r.h. (meninggal 728H) dalam karyanya Iqtida al-Sirat
al-Mustaqim dan muridnya al-Hafizd Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h (meninggal 751H)
dalam karyanya Ahkam Ahl al-Zimmah dengan tegas mengharamkan hal ini. Mereka telah
mengemukakan hujah dan alasan mereka dalam mengharamkannya.
Teras
kepada perbincangan mereka ialah perbuatan tersebut membawa erti menyerupai
orang kafir dan meredhai agama mereka. Fokus mereka adalah penyertaan seorang
muslim kepada upacara perayaan bukan muslim. Banyak pendapat-pendapat ulama
silam yang mereka petik. Pandangan kedua imam agung itu diikuti oleh sesetengah
para ulama terutama dari negara yang dominan penduduk muslim seperti Arab
Saudi. Maka Lajnah Fatwa Tetap Arab Saudi mengharamkan ucapan selamat sempena
perayaan agama lain.
7.
Sementara Majlis Fatwa Eropah (The European Council For Fatwa and Research)
yang dianggotai oleh ramai sarjana muslim membolehkan muslim memberikan ucapan
tahniah atau selamat sempena perayaan mereka (Congratulating Non-Muslims on
Their Festive Occasions). Ini lebih dituntut apabila mereka terlebih dahulu
mengucapkannya semasa perayaan Islam. Ini berteras ayat dalam Surah al-Nisa,
ayat 86 yang kita sebutkan tadi. Pun begitu, mereka tetap mengharamkan muslim
menyertai perayaan agama lain. Hanya sekadar ucapan sempena perayaan.
8.
Fatwa yang sama yang mengharuskan ucapan sempena perayaan agama lain
dikeluarkan oleh beberapa ulama lain seperti Dr Yusuf al-Qaradawi dan
al-Mustafa al-Zarqa. Antara hujah yang digunakan oleh al-Syeikh Mustafa
al-Zarqa adalah hadis Nabi s.a.w:
“Sesungguhnya
telah lalu di hadapan Nabi s.a.w satu jenazah, lalu baginda bangun (untuk
menghormati). Lalu diberitahu kepada baginda: “Itu jenazah seorang yahudi”.
Baginda
bersabda: “Tidakkah ia juga jiwa (insan)?” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kata al-Zarqa: “Bangun tersebut sebagai menggambarkan penghormatan dan
kemuliaan, tiada kaitan dengan akidah jenazah tersebut” (Fatawa Mustafa
al-Zarqa, m.s 356. Damsyik: Dar al-Qalam). Ertinya, beliau membandingkan
mengucapkan selamat sempena hariraya agama lain kepada penganutnya, bukan
bererti mengiktiraf akidah mereka.
9.
Dengan ini saya berpendapat, boleh mengucapkan selamat hari raya kepada
penganut agama lain sempena perayaan mereka dengan syarat ucapan tersebut tidak
mengandungi ungkapan yang syirik atau kufur seperti menyebut ‘anak Allah’ atau
tuhan selain Allah. Maka, memadai sekadar ‘selamat hari raya’ atau ‘selamat
bergembira’ atau seumpamanya. Hal ini lebih dituntut jika semasa hari raya
Islam mereka mengucapkannya.
10.
Namun, seorang muslim tidak boleh turut merayakan hari raya agama lain. Sebabnya,
perayaan agama merupakan upacara agama. Bukan muslim pun tidak patut disuruh
merayakan hariraya kita. Perpaduan antara kita sesama rakyat muslim dan bukan
muslim bukan dengan berkongsi hari raya, tetapi dengan keadilan, berbuat baik
dan tidak menzalimi antara satu sama lain.
11.
Apa yang penting, dalam dunia semasa yang Islam dituduh dengan pelbagai tuduhan
liar, kita patut menonjolkan imej Islam yang harmoni dan baik. Dalam masa yang
sama kita mesti menjaga benteng akidah kita. Sumber: Orang Islam boleh ucapkan Merry Christmas
/ Selamat Hari Natal
Jadi,
jelaslah bahawasanya hukum mengucapkan Merry
Christmas (Selamat Hari Natal) dalam Islam adalah dibolehkan untuk tujuan
kebaikan / perpaduan / hidup harmoni dengan mereka yang berlainan agama. 25
Disember 2016, selamat bercuti buat semua. Selamat menyambut tahun baru 2017!
No comments:
Post a Comment